12 September 2012

Tujuan Hidup

Assalamualaikum w.b.t.

Ramai orang tercari-cari erti kehidupan. Kenapa aku mesti berusaha? Kenapa aku mahu mengejar kekayaan? Apa yang sebenarnya yang aku cari? Kenapa aku lahir ke dunia ini? Apakah sebenarnya tujuan aku hidup ini?

Persoalan-persoalan ini tidak mudah dijawab. Dan pada zaman ini terutamanya, kelihatan begitu ramai insan yang terpedaya dan tertipu akan tujuan hidup mereka. Ada yang beranggapan menjadi kaya itulah tujuan hidup ini, tetapi begitu ramai sekali mereka yang sudah kaya kecundang dan hidupnya jelik dan menyeksakan. Ada yang beranggapan hidup senang itulah tujuan hidup, tetapi begitu ramai kita lihat manusia yang terjerat dengan dadah & jenayah gara-gara mengejar kesenangan dan keseronokan hidup.

Jadi, persoalan sebegini tidak terlepas daripada perhatianku. Aku juga pernah bertanya-tanya apakah tujuan hidupku.. untuk apa aku bersusah payah mencari rezeki dan menunaikan tanggungjawabku? Apa yang sebenarnya aku mahu? Apa sebenarnya tujuan hidupku?

Ramai golongan ateis yang menganggap bahawa persoalan-persoalan ini hanya diada-adakan oleh golongan yang beriman kepada Tuhan. Ini supaya membolehkan takrifan perlunya berTuhan itu ada asasnya dan ketiadaan Tuhan (sepertimana yang diwar-warkan oleh golongan ateis ini) itu tidak benar.

Sebenarnya bukanlah kerana setiap kali aku masuk kerja, bos akan tanya pada aku setiap pagi "Apa tujuan hidup kamu hari ni?". "Kenapa kau bersusah payah datang kerja hari ni?"

Tidak. Tidak ada sesiapa yang bertanyakan soalan ini kepadaku.

Tetapi soalan ini lahir dari hati nuraniku. Soalan ini datangnya dari dalam hatiku sendiri. Ia bertanyakan kepadaku kenapa aku lakukan semua perkerjaan yang sedang aku lakukan. Apabila aku tidak mampu menjawabnya, aku jadi lemah. Aku tidak ada perdirian. Hatiku sendiri meragui keikhlasan kerjaku. Hatiku sendiri yang berbalah akan kesungguhan pekerjaanku.

Apabila aku jawab, 'Kerana duit. Aku nak kaya raya agar hidup senang lenang'. Tetapi hatiku membantah apabila diperlihatkan kepadaku bagaimana orang kaya yang masih juga sengsara, tidak senang hidupnya. Dan aku akui kebenarannya bahawa kekayaan itu tidak menjamin kebahagiaan.

Apabila aku jawab, 'Kerana anak-anak & isteriku. Aku ingin mencari rezeki untuk mereka.' Hatiku masih membantah, kerana betapa ramai bapa-bapa yang siang malam bekerja tanpa henti tetapi anak-anak pula menderhaka dan menconteng arang ke muka mereka dengan terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral seperti mendedahkan aurat, berzina, dan merempit di jalanraya sehingga mengganggu keselamatan pengguna jalanraya yang lain. Hatiku juga berkata betapa ramai isteri-isteri yang dipercayai oleh suami telah berlaku derhaka dan ada juga yang sanggup mencurangi suami mereka dengan lelaki lain.

Aku gerun mendengarnya.. terasa sia-sia perkerjaanku selama ini.

Kalau begitu... "Apakah tujuan aku bekerja selama ini?? Apakah tujuan hidupku??"

Dan Allah S.W.T. telah menjawab pertanyaan hatiku ini, seperti yang termaktub dalam Al-Quran surah Az-Zariyat ayat 56 :

Mafhumnya : "Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali agar mereka beribadah kepada-Ku"

Hidup ini untuk Allah. Bangun pagi kerana untuk berbakti kepada Allah. Pergi kerja untuk teruskan ibadah kepada Allah, sekalipun kerjaku membantu merawat kesakitan orang lain tetapi merawat itu kerana Allah. Kerana Allah menyukai perkerjaan membantu orang lain, maka aku bekerja untuk disukai Allah. Jika pesakit memaki hamun aku, memarahi aku malah menyaman aku, tetapi aku tidak perlu kecewa kerana aku bekerja bukan untuk mereka tetapi untuk Allah.

Apabila aku mengumpul duit dan mencari kekayaan, aku kumpul kerana Allah. Aku kumpul dari sumber-sumber yang diredhai-Nya, bukan dari rasuah, penipuan atau jenayah. Apabila aku kaya, mungkin sahaja ramai orang yang memusuhiku kerana dengki akan kemewahanku, tetapi aku tidak perlu gusar sekiranya aku kehilangan kekayaan kerana aku kumpul duit bukan kerana duit, tetapi kerana Allah. Sekiranya aku jatuh miskin, aku tetap redha dan akan aku teruskan penghidupan kerana Allah tidak memilih. Sesiapa yang berusaha mendapatkan keredhaan-Nya, pasti Dia akan menghargai insan itu samada dia orang kaya mahu pun miskin. Kerana Dia telah janjikan syurga buat sesiapa yang mencari dan mengharapkan redha-Nya.

Masya-Allah..

Dan sesungguhnya, inilah jawapan yang memberikan ketenangan kepada hatiku. Ia berpuas-hati dengan jawapan ini, seolah-olah inilah jawapan yang sedang dicari-carinya. Inilah tujuan hidup aku. Mudah-mudahan aku tetap istiqamah dan ikhlas dalam melaksanakan tujuan hidup ini, dan mudah-mudahan syaitan tidak berupaya menggugat dan memesongkan aku daripada ketenangan ini.

*Hm.. aku pasti, hati nurani orang-orang yang tidak mempercayai Tuhan pasti sedang merana dan kesedihan kerana tuan empunya badan tidak mahu mengakui bahawa dirinya itu perlukan tujuan hidup. Kesiannya mereka.. hidup kosong, tidak ada hala tujuan yang betul kecuali sangkaan dan tipuan semata-mata.

1 comments:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Oh ya, di sana anda bisa dengan bebas mendowload music, foto-foto, video dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

Post a Comment