04 October 2011

Bukan Senang Nak Senang..

Assalamualaikum.


"Bukan senang nak senang."

Itulah ungkapan kata-kata abah suatu ketika dulu. Walau pun sudah bertahun-tahun kata-kata itu diucapkan, entah kenapa aku betul-betul merasainya pada hari ini..

*Maafkan aku kerana sudah lama menyepi kerana agak sibuk dengan urusan pindah rumah, serta masalah-masalah yang berkaitan. 


Bila difikir-fikirkan semula, sebenarnya aku sendiri pun kadang-kadang keliru dengan apa yang aku mahukan. Kerana kita tidak tahu apa yang telah ditakdirkan ke atas kita pada masa hadapan, maka sebenarnya kita tak akan tahu apa yang terbaik untuk kita. Bila kita menerima sesuatu yang kita tidak gemari, kita pasti rasa sedikit kecewa. Namun, kita sebenarnya tidak akan tahu..

Bila aku mendapat keputusan SPM yang agak memberansangkan, aku begitu berharap untuk menjadi seorang saintis yang dapat menerokai penemuan-penemuan baru dengan penuh keghairahan (curiosity). Pilihan Sains Bioteknologi menjadi pilihan ketika itu. Borang UPU aku isi dengan penuh pengharapan. Tapi.. bila sampai tawaran matrikulasi, aku akur kerana ramai kawan-kawan aku yang menyertai matrikulasi. Kawan-kawan aku yang lebih cemerlang pula telah ditawarkan ke luar negara. Manakala, kawan-kawan aku yang 'setaraf' dengan aku pula masuk matrikulasi. Malah.. pengajian yang ditawarkan kepada lepasan SPM cuma peringkat Diploma sahaja.

Dan aku teruskan kehidupan aku di matrikulasi. Bukanlah aku ni genius sangat, tapi tak sangka juga untuk memperolehi PNGK 4.0. Aku bukanlah jenis yang belajar sistematik tapi lebih kepada belajar last-minute. Di sana, harapan untuk menjadi saintis masih membara.. namun, khabar-khabar angin yang singgah ke telinga aku mengatakan tiada kerja untuk pegawai sains. Masa tu masih keliru dengan pengawai sains dan saintis. Memang kakak aku belajar Biomedic dan menjadi pegawai sains, maka berdasarkan pengalamannya yang sangat sukar mencari kerja sebagai pegawai sains menjadikan cita-cita aku tergugat.

Oleh kerana kawan-kawan aku semuanya sibuk-sibuk bercerita nak masuk bidang perubatan, sementelahan pulak ibubapa aku pun mendesak untuk mengambil jurusan perubatan, aku turuti jua akhirnya. Itu pun setelah ada yang kata kebanyakan doktor-doktor sahaja yang buat kajian dan research. Maknanya nak jadi ahli sains, kena jadi doktor dulu. Begitulah doktrin yang aku terima suatu ketika dulu.

Kelakar, ye? 


Dalam kehidupan ini, jarang sekali kita dapat buat pilihan sebenarnya. Bila dikenang-kenangkan kembali, terasa bagai hidup ini telah diaturkan dan kita cuma melaluinya sahaja.

Fasa-fasa kehidupan seterusnya pun begitu.

Seperkara lagi, bila sudah melaluinya, maka tiada lagi jalan pulang. Maknanya kita terpaksa meneruskan kehidupan kita sekali pun kita tidak menyukai. Mahu tak mahu, kita perlu menghadapinya.

Ya, masih boleh untuk berpatah balik namun... berbaloi ke? Berbaloi ke nak masuk universiti semula untuk memasuki bidang yang baru dan meninggalkan bidang yang kita sudah ada sedikit kemahiran dan kepakaran di dalamnya? Usia pun sudah meningkat. Anak pun dah nak masuk dua orang... Masih berbaloi lagi ke?

Dengan kata lain, tidak ada. Cumanya..kalau kita mahu mencari pilihan masa depan yang menyenangkan dan membahagiakan, lupakanlah. Kerana setiap pilihan itu ada liku-liku dan rintangannya yang tersendiri.

Jika kita mahukan yang senang sahaja, tanpa melalui kesusahan.. kita akan tersilap. Dan setiap kesilapan itu kadang-kadang menyimpan seribu penyesalan.

Bukan senang.. ye?

Ya Allah.. lemahnya jiwa dan ragaku. Berikan daku kekuatan dalam menghadapi dunia yang penuh pancaroba ini. Berikan daku petunjuk-Mu ya Allah..

2 comments:

Unknown said...

tp dr dh berjaya sekrng..sy sgt kagum..PNGK 4.0 tu...hebat dh tu...msti dr ni jenis study smart..well done dr..masalah menjadikn kita ini lebih dewasa dan matang...

DrSatriaN said...

Hidup ini tidak bergantung kpd kejayaan pada kertas peperiksaan. Semua tu rezeki daripada Allah Taala. Tapi setuju bahawa masalah akan mematangkan kita.

Post a Comment