27 November 2011

Tidak Lari Daripada Kehidupan..

Assalamualaikum w.b.t.



Sudah sekian lama juga aku hidup di dunia ini, tapi hanya baru-baru ini sahaja aku temui jawapan kepada satu persoalan kehidupan yang selalu bermain di fikiran. Setelah 27 tahun menongkah arus kehidupan, hanya baru ini sahaja aku mengerti perkara ini..

"Kenapakah hidup ini begitu susah dan penuh masalah? Bagaimanakah aku mahu mencari kehidupan yang tiada bermasalah?"



Selama bertahun-tahun aku bergelut lamanya mencari kononnya 'jalan keluar' daripada persoalan ini. Sejak di bangku sekolah, aku selalu memikirkan bahawa tamatnya zaman persekolahan, maka tamatlah masalah-masalah dalam hidup aku. Masalah aku menempatkan dalam kalangan kawan-kawan yang dianggap 'macho', masalah berkomunikasi dengan perempuan, masalah keyakinan diri, dan sebagainya. Aku selalu berharap agar dapat menghabiskan persekolahan dengan cepat.

Bila dah tamat zaman persekolahan, masuk pula ke zaman universiti. Aku rasa sangat gembira kerana tergambar kehebatan mahasiswa yang dipandang tinggi oleh masyarakat serta waktu belajar yang lebih fleksibel berbanding zaman sekolah yang ketat. Namun.. masalah masih juga menghantui aku di universiti. Jumpa pula masalah yang lain.. masalah tak cukup duit, masalah nak menyiapkan tugasan-tugasan yang sukar, masalah nak mendisiplinkan diri, masalah nak belajar cara universiti (tiada lagi pengajaran secara spoonfeeding), dan pelbagai lagi.

"Argh! Sukarnya zaman universiti. Alangkah bahagia bila dah kerja sebab dah ada duit, dah boleh berumahtangga, dah boleh bawa kereta nak pergi mana-mana, ada pendapatan dan tak perlu lagi siapkan tugasan-tugasan yang tak putus-putus diberikan."

Bila dah kerja.... jumpa la pulak masalah lain.

Sehingga beberapa minggu sebelum ini, disebabkan masalah-masalah kehidupan ini yang tidak henti-henti.. aku akhirnya terduduk, terdiam, termenung dan tertanya-tanya. Apakah realiti kehidupan ini sebenarnya?

Kata orang, baca buku tak guna kalau tidak 'expose'. Hm, aku tak setuju. Walau pun kita belum berhadapan dengan masalah kehidupan, tetapi membaca buku menambahkan kefahaman dan kekuatan rohani adalah sangat penting untuk berhadapan dengan masalah kehidupan. There's nothing wrong in gaining knowledge because knowledge makes you wiser, man!

Dan melalui beberapa pembacaab buku-buku motivasi, aku temui jawapannya.. bahawa kehidupan ini adalah masalah sebenarnya.

Hidup = Tangga masalah!

Namun, sekiranya kita tidak mengatasi masalah itu, kita akan terus berhadapan/menjumpai masalah yang sama. Sehinggalah kita berjaya mengatasinya, maka selepas itu masalah itu sudah tidak menjadi masalah dalam hidup kita lagi. Tetapi kita akan berhadapan dengan masalah yang lain pula, tetapi kali ini masalah yang lebih rumit pula. Ini kerana kehidupan kita adalah bertangga-tangga. Selesai satu anak tangga, kita akan bertemu dengan anak tangga yang seterusnya.


Oleh itu, jika anda lari daripada masalah, maka sebenarnya anda lari daripada kehidupan sebenar. Azam aku pada tahun baru ni.. tidak lari lagi daripada kehidupan.

0 comments:

Post a Comment