(Pelajar Nik Nur Madihah yang berjaya menamatkan zaman persekolahannya dengan cemerlang, SPM 20A) |
Program yang ditawarkan adalah Sains Biologi. Memang ramai yang mengambil program Sains Biologi. Namun, hasrat di hati adalah untuk mengejar cita-cita menjadi sainstis berjaya. Memang sudah tekad di hati membara, namun jalan dan simpang di masa depannya masih kabur daripada pandangannya.
Apabila kelas bermula, Azman mula membiasakan diri dengan kehidupan matrikulasi. Pada peringkat awal terasa agak canggung dan kekok, kerana hanya dia seorang yang terpilih daripada sekolahnya yang berjaya memasuki KMM. Sesi pembelajaran berjalan lancar, dan panggilan telefon daripada ibubapa sentiasa menaikkan semangat. Harapan mereka agar anak yang seorang ini dapat menjadi contoh kepada adik-beradik yang lain.
Ayah pula sudah meletakkan harapan agar mendapatkan skor yang terbaik. Dipesan siap-siap supaya pilih bidang perubatan kerana jaminan kerja dan pendapatan yang lumayan. Di kampung, ayah mula berangan-angan anaknya akan menjadi seorang doktor dan keluarganya akan dihormati masyarakat sekeliling. Masyarakat akan mula memandang tinggi dirinya kerana berjaya mendidik anak menjadi seorang doktor. Sudah menjadi lumrah, asalkan anak itu berjaya menjadi doktor, itu sudah dikira berjaya mendidik anak. Itulah pandangan masyarakat. Itulah harapan ibubapanya ke atas dirinya.
Sesi pertama yang berlarutan selama 6 bulan mulai sampai ke hujungnya. Peperiksaan akhir sesi pertama bermula. Hati berdebar-debar. Fikiran runsing dan berkecamuk. Azman jadi tak keruan. Dilihatnya kawan-kawan yang lain berlumba-lumba menjadi lebih pandai. Ada yang ke mana-mana menjinjing beg dan buku. Ada yang sambil menyuapkan nasi ke mulut, mata terus menatap buku. Perpustakaan yang besar itu pun penuh dengan orang. Semuanya berlumba-lumba untuk mendapatkan skor yang terbaik. Suasana terasa begitu tegang. Tekanan peperiksaan yang bakal menjelma menjadikan setiap pelajar KMM bagaikan mayat buku, yang kemana-mana sahaja membawa buku. Belajar dan terus belajar.
Ada juga di antaranya yang sudah kecundang awal-awal. Pergi ke pekan dan ke bandar, kononnya untuk mencari ketenangan, namun pulang semula ke asrama dengan perasaan yang lebih bersalah dan risau kerana tak baca buku.
(Tekun membaca, tapi otak dah 'beku' kerana stress exam) |
Azman pula lain ceritanya. Dia sudah awal-awal lagi tertekan. Namun, dia seorang pelajar yang bijak. Sepanjang kelasnya, dia boleh memahami setiap butir-butir mutiara ilmu yang disampaikan pensyarah. Malah, dia juga turut menjadi rujukan oleh rakan-rakannya untuk bertanyakan soalan. Dia bukan kedekut ilmu, malah dia rajin membantu rakan-rakannya menyiapkan kerja amali. Kerap kali buku amalinya dipinjam rakan-rakannya untuk ditiru. Namun, dia terlalu baik. Dia anggap itu sebagai pertolongan kepada rakan-rakannya.
Kini, semua orang belajar sendiri-sendiri. Ada juga yang menubuhkan kumpulan study, tapi tak bertahan. Sebab kebanyakannya hanya berakhir dengan borak-borak kosong.
Apabila peperiksaan berakhir, semua pelajar merasa lega. Ada juga yang menangis. Tapi masing-masing sudah memasang harapan agar dapat pencapaian yang terbaik, iaitu 4.0 (four flat). Jika dapat 2.0 ke bawah, mungkin akan disingkirkan daripada kolej. Ini yang merunsingkan ramai pelajar.
Bila tiba hari pengumuman, seramai 100 orang berjaya memperolehi pointer 4.0. Syukur tak terhingga, Azman turut bertuah mendapat 4.0. Ibubapanya dipanggil untuk menerima penghargaan di atas kejayaan anaknya, beserta ibubapa kawan-kawannya yang mendapat 4.0. Majlis penghargaan yang meriah itu menyuburkan lagi harapan ibubapanya agar anaknya menceburi bidang perubatan. Sememangnya, kawan-kawannya yang lain juga sudah menyebut-nyebut bidang perubatan. Menjadi doktor kini sudah menjadi cita-cita baru kepada pelajar-pelajar Sains Biologi. Mereka yang memasang niat untuk menceburi bidang lain mula menyepi. Dan, diam-diam atau pura-pura, mereka juga bercerita seolah-olah mereka pun meminati bidang perubatan.
Azman juga tidak terkecuali. Cita-citanya untuk menjadi sainstis, bagaikan tenggelam malu dengan harapan ibubapanya dan pandangan kawan-kawannya untuk memilih bidang perubatan yang gah itu. Sekali pun hatinya ragu-ragu, namun pencapaiannya yang cemerlang sebegitu dianggap satu kerugian BESAR jika sekadar memilih bidang Bioteknologi..
"Biotek? Apa tu? Tak glamour la. Mana ada kerja sekarang ni untuk graduan biotek. Jadi graduan penganggur je nanti. Dah belajar elok-elok, ayah dah sekolahkan tinggi-tinggi, ko nak amik bidang ntah ape ntah. Cuba bagitau ayah, apa kerja bidang biotek yang ko nak sangat tu? Hah?!" Gertak ayahnya, apabila Azman mengutarakan hasratnya untuk memjurus dalam bidang bioteknologi yang diminatinya. Pada ketika itu, borang permohonan kemasukan ke universiti sudah dikeluarkan. Pelajar-pelajar telah diminta untuk mengisi pilihan bidang ijazah dan diploma yang dikehendaki. 8 pilihan diberikan, namun hanya satu yang akan dipilih berdasarkan kekosongan. Ibu pula datang memujuk agar menurut kata ayah. Azman jadi keliru, namun siapa yang berani melawan kata ayahnya di rumahnya tu.
Kembalinya ke kolej, kawan-kawan bertanya-tanya.
"Bidang apa yang ko amik? Kasi la kami tengok. Ko dapat 4 flat, mesti amik perubatan. Kan? Kan? Ko minta U mana?" Kawan-kawan Azman mengasak, sedangkan borangnya masih kosong tak terisi, begitu juga hatinya yang sudah berbelah-bahagi. Antara Bioteknologi dan Perubatan. Antara impian hati dan harapan keluarga. Antara cita-cita sendiri dan pengaruh kawan-kawan.
(Akibat tekanan kawan-kawan, terasa bagai dipijak-pijak jika tidak membuat pilihan yang berdasarkan arus semasa.) |
Itulah sumpahan medik, yang sebenarnya telah menyusup sejak seawal zaman matrikulasi lagi. Kadang-kadang, kita punyai kelebihan di bidang lain, namun kita memilih bidang perubatan kerana mahu menjaga imej, jaga reputasi, jaga maruah keluarga, tutup mulut orang lain, dsb. Hingga kita melupakan terus niat dan potensi diri kita.
Adakah permasalahan Azman selesai? Ia adalah sumpahan, dan sumpahan mengundang sengsara kepada sesiapa yang terkena. Ikuti sambungannya.. Hehehe.