12 August 2011

Kisah-kisah Penipuan Semasa Membeli Tanah... Kisah Benar 1!

Assalamualaikum.

Kali ni, aku nak kongsikan plak kisah-kisah yang diturunkan oleh makabah aku tentang kes-kes penipuan hartanah sepanjang pengalaman diorang mengendalikan pembelian tanah. Kisah-kisah ini tidak mendedahkan siapa yang terlibat. Namun, apa yang penting yang ingin dikongsikan adalah cara penipuan yang digunakan oleh pihak-pihak yang tidak jujur.


Anda ingin tahu? Teruskan membaca selepas jump break ini.

Kisah-kisah seperti ini harus anda tahu kerana ia benar-benar berlaku (namun terdapat pengolahan di sini untuk memudahkan pemahaman). Jadi mari kita selidiki bagaimana orang boleh menipu dalam pembelian tanah.

Kes 1 : Terlalu Percaya Kata-Kata Penjual

Dalam kes ini, ada sorang pakcik ni mendapat tahu satu maklumat tentang sebuah tanah bendang yang hendak dijual. Berukuran 3 ekar dengan nilai jualan RM190,000 (pada tahun 2010) adalah dikira agak murah dan berpatutan. Oleh kerana beliau berminat, maka ditanyakanlah siapa tuan punya tanah tersebut.

Namun, nombor talian yang diberikan adalah nombor seorang broker tanah. Maka, si pakcik ni pun hubungilah si broker tanah itu.

Pakcik : Assalamualaikum.
Broker : Hello, siapa ni?
Pakcik : Saya ni .. nak beli tanah. Orang yang bagi saya nombor ni. Katanya kalau nak beli bendang kat Simpang Lima tu, kena hubungi encik.
Broker : Oh ya. Saya la tu. Ya, encik nak beli tanah yang 3 ekar tu ye? Masih ada kosong. Belum ada sapa-sapa lagi yang beli. Harga RM190,000. Ini dah kira murah dah encik. Kalau kat tempat saya, harga sawah dah mencecah RM200,000. Takde dah sawah 1 keping yang kurang daripada RM200,000 macam ni. Ada yang terjual sehingga RM240,000 pun ada. Ni harga murah encik. Tuan tanah pun nak cepat-cepat sebab nak guna duit.
Pakcik ('Aik? Hari tu ada kawan aku beli tanah sekeping RM170,000 aje.' getus hati pakcik ni sendirian.) : Hm.. RM190,000 ye. Tak boleh kurang lagi ke? Yang ini bukan tuan tanahnya ke?
Broker : Oo.. itu kena tanya pada tuan tanah sendiri. Saya cuma tolong jaulkan je. Tuan tanah sibuk kerja, takde masa, jadi dia wakilkan saya untuk jual. Kalau pakcik setuju, saya boleh tunjukkan lokasi tanah tu dan gerannya sekali.

Maka pakcik tu pun setuju. Bila dibawa berjumpa dengan broker tu, memang ditunjukkan sekeping tanah yang luas dengan daun padi yang sudah menguning tunggu dituai. Bukan geran asli yang ditunjukkan tetapi salinan geran sahaja. Lagi sekali broker tu mengayat pakcik ni agar setuju membeli.

Pakcik : Baiklah. Saya setuju nak beli tanah ni.
Broker : Bagus pakcik. Pasti pakcik tak menyesal beli tanah ni. Dah la dekat tepi jalan, ada parit lagi tu. Hasil pun 10-14 tan padi semusim tanah ni. Tapi ada 3 orang yang tanyakan jugak tanah ni. Diorang pun nak beli jugak. Pakcik kena cepat-cepat beli tanah ni. 
Pakcik : Oh ye ke? Kalau macam tu, boleh bawa saya jumpa tuan tanah tu cepat. (Hati pakcik dah gusar sedikit sebab ada pesaing. Kalau lambat beli, hilang peluang yang datang bagai sekali dalam seribu tahun, pada fikirannya)
Broker : Boleh. Takde masalah, cumanya pakcik kena bayar deposit dulu kat saya. Tak banyak, cuma RM10,000 je untuk pastikan urusniaga ni boleh berjalan. Bakinya RM180,000 pakcik bayar terus pada tuan tanah nanti. Tuan tanah memang dah percayakan saya, dan letakkan saya sebagai wakil dia. Lagi pun saya duduk dekat-dekat sini je. Kalau ada apa-apa, pakcik boleh cari saya. Pakcik pun dah ada no tepon saya. 
Pakcik : Err.. tak boleh ke saya jumpa tuan tanah dulu?
Broker : Maafla pakcik, tuan tanah bukan duduk dekat sini. Dia kerja kat Petaling Jaya. Susah nak panggil dia tiba-tiba macam ni. Dia kena minta cuti dulu baru boleh datang. Tapi saya dah cakap kat dia yang pakcik berminat. Dia kata kalau pakcik dah bayar deposit, dia akan turun sini. Yela.. orang zaman sekarang ni susah sikit nak percaya pakcik. Kata nak beli, tapi bila nak jumpa tak ada. Tuan tanah dah turun banyak kali ke sini, jadi dia dah tak mahu turun lagi kalau tak betul-betul serius.
Pakcik : Baiklah. Nanti minggu depan aku masukkan duitnya.
Broker : Ish, lambat tu pakcik. Ada sorang pembeli tu pun nak masukkan duit minggu depan jugak. Saya ikut sape yang bayar dulu. Kalau dia bayar dulu, saya tak boleh jual dah kat pakcik. Tapi kalau pakcik masukkan duit minggu ni, saya akan tolak la permohonan orang tu. 
Pakcik : Okey la. Esok jugak aku masukkan. Tapi pastikan aku yang jumpa tuan tanah tu ye.
Broker : Baik pakcik, takde masalah. Pakcik masukkan duit kat akaun ni ye. (Sambil menuliskan nombor akaun banknya sendiri, si broker gelak kecil dalam hati.)

Setelah duit diberi, pakcik tadi pun dibawa berjumpa dengan tuan tanah tu. Tapi.. tuan tanah tu tak mengaku plak yang si broker tu sebagai wakilnya. Dan dia tetap nakkan duit sebanyak RM190,000, dan bukan RM180,000 seperti yang dikata broker itu. Tetapi.. broker tu dah lesap. Call banyak kali pun tak berjawab. Rupanya broker tu pun bukan orang situ. Maka hilanglah yang kononnya duit 'deposit' pakcik tadi. Nasib baik tuan tanah tu memang nak jual. Kalo tak jual, sia-sia je usaha pakcik selama ni.

Pengajaran :

1. Jangan mudah-mudah percaya kata penjual (sekali pun yang jual itu tuan tanah sendiri). Pastikan jumpa dengan tuan tanah seperti yang namanya tertera pada geran dan pastikan memang dia berniat nak jual.

2. Sebelum mula membuat keputusan nak beli, pastikan dah tengok geran asli (bukan salinan) tanah itu dan dah jumpa tuan tanah sebenar (bukan broker).

3. Beringatlah.. memang broker suka bermain kata-kata seolah-olah kita dah terdesak. Taktik yang biasa digunakan adalah menggunakan kaedah persaingan dalam pembelian. Ini memang taktik yang membuatkan orang sanggup keluarkan duit pada masa itu juga. Kerana tak mahu lepaskan peluang, hilang pula wang..

4. Setiap kali buat pembayaran, mesti ada buat dokumen perjanjian. Bila buat bayaran deposit, mesti buat surat perjanjian yang mengesahkan pembayaran itu sebagai tanda pembelian. Surat itu mesti menyatakan bahawa pihak pemilik tanah tidak boleh menjual kepada sesiapa lagi setelah menerima pembayaran deposit, dan bakinya dibayar berperingkat-peringkat mengikut proses pemindahan nama. Jika pembeli tidak menyelesaikan pembayaran seperti yang dijanjikan, maka pembeli boleh kehilangan duit deposit dan hak tanah kembali kepada pihak pemilik tanah.

Glossari :

Broker - wakil kepada tuan tanah, yang berfungsi mencarikan pembeli pada harga yang ditetapkan. Biasanya upah broker diberi oleh tuan tanah, tapi ada juga broker yang tamak sehingga meminta upah daripada kedua-dua belah pihak (tuan tanah dan pembeli). Biasanya upah broker sudah termasuk dalam harga jualan tanah.

Wallahua'lam. Ada lagi satu kisah yang berlaku di mana penipuan itu dibuat oleh si tuan tanah sendiri. Nantikannya dalam artikel akan datang (Kes 2 - Si Tuan Tanah Penipu).

0 comments:

Post a Comment