13 October 2010

13th Oktober 2010...

Aduh..!

Penatnya badan.
Seharian bekerja tanpa henti bermula seawal 7pagi hingga 5 petang.
Lagi tambah meletihkan apabila aku telah dipanggil malam tadi untuk mengiringi seorang pesakit untuk dihantar segera ke Hospital Besar Ipoh.
Pukul 1pagi, ketika baru sahaja mataku hendak melelapkan mata. Tiba-tiba handphone aku berdering memecah kesunyian malam.
Kreng! Kreng!
Bunyinya kuat menyakitkan telinga, tetapi lebih menyakitkan mataku kerana panggilan itu daripada Hospital. Hohoho.
"Ni macam nak kena terbang je aku malam ni," getus hatiku.
Dan.. memang tepat jangkaanku.
Ada seorang wanita mengandung yang sudah cukup 9 bulan, dan pintu rahimnya juga telah terbuka penuh sejak pukul 11.55pm tetapi kepala bayi masih tak keluar-keluar jugak. Berdasarkan protokol hospital ini, seandainya setelah berusaha untuk bersalin biasa sehingga 1 jam tetapi bayi masih tak keluar-keluar lagi, maka pesakit itu perlu dihantar segera ke Hospital Besar yang ada kemudahan pembedahan (Lower Segment Ceaserean Section).
Dan.. doktor onkol perlu mengiringi sekali takut-takut terberanak ketika dalam perjalanan. Tujuannya dikhuatiri anak yang lahir itu perlukan bantuan kecemasan untuk menyelamatkan nyawanya.
Setelah peralatan-peralatan telah tersedia, maka berangkatlah kami ke Hospital Besar Ipoh dengan ambulans pada pukul 1.20 pagi. Laju sekali ambulans kami meluncur di jalan raya, dengan bunyi siren dan hon yang bertalu-talu mengecutkan kenderaan-kenderaan lain untuk ke tepi memberikan laluan.
Namun, selaju itu jugalah jantungku berdegup kencang..
Dup dap! Dup dap! Dup dap!
Semakin kuat lagi jantungku bergendang setiap kali pesakitku itu meraung kesakitan hendak bersalin. Kekadang aku rasa geram jugak, kenapa lah tak faham-faham pesakit aku yang sorang ni. Berbuih-buih mulut aku berpesan supaya jangan meronta-ronta dan jangan meneran, tapi tarik dan hembus nafas sahaja untuk tahan sakit. Dia tetap juga meraung. Tak diendahkan. Terus meronta-ronta.
Melihat keadaannya itu, sekilas hati aku terdetik.
"Astagfirullah..! Kenapa aku nak marah-marahkan dia sedangkan dia dalam kesakitan. Sepatutnya aku cuba untuk memahaminya yang sedang sakit nak bersalin!"
Entah kenapa, suara halus itu menyentak jantung kemarahanku sehingga aku terus jadi kesian dan sayu melihat keadaannya. Seketika itu juga, aku terkenangkan isteriku yang juga sedang mengandung. Bagaimana pula keadaannya nanti?
Astagfirullahalazim..
Aku percaya pada balasan Tuhan atas setiap perbuatan dan perkataan kita. Aku khuatir nanti Allah akan balas pula pada isteriku sebagai balasan aku tidak bersabar ketika ini. Aku jadi takut untuk terus turutkan amarahku, lalu aku memilih untuk menahan sabar.
Dan.. aku teringat juga pada kata-kata ustaz masa di bangku sekolah dulu.

“Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah.” - Hadis riwayat Bukhari

Akhirnya, setelah 20 minit di perjalanan, kami tiba jua di pintu Hospital Besar Ipoh dan pesakit itu selamat dimasukkan ke bilik bersalin (Labour Room).
Syukur.. berkat kesabaran, mungkin.
Sebelum kami berangkat pulang, kami terdengar yang bayi di dalam kandungannya mungkin akan lemas dan mungkin pesakit itu terpaksa dibedah segera. Syukur.. lega sungguh hatiku. Jika ketika dalam perjalanan itulah aku terpaksa sambut bayi itu, mungkin aku terpaksa bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa bayi itu dengan bantuan peralatan dan tenaga kerja yang sedikit.
Fuh... lega. Asalnya marah, bertukar penuh kelegaan.
Dengan hati yang lapang itu, aku pulang ke rumah untuk sambung tidurku pada pukul 3 pagi.

Demikianlah coretan aku akan pengalaman onkol aku malam tadi.
Mendebarkan, dan menginsafkan. Kini, keletihan.


DrSatrian
"Hidup Mesti Membaca"
Sg Siput, Perak

0 comments:

Post a Comment