Bismillahirrahmanirrahim..
“Diari, merakam sejarah mencatat kenangan” - Ustaz Muhammad Abdullah (www.ustazamin.com)
Hidupku bermula seawal 4.30 pagi.
Tetapi aku bukanlah selalu bangun seawal ini, cuma semalam aku tidur lebih awal daripada biasa. Penat melayan puluhan pesakit di Jabatan Pesakit Luar semalam, tetapi itu adalah lumrah dalam kerjaya seorang doktor.
Status terkini..
Mungkin ini adalah entry pertama dalam nukilan diariku, jadi mungkin aku perlu memperingatkan diri aku akan siapakah aku dan apakah yang aku perbuat di kala ini.
Kini & selamanya.. aku tetap teguh seorang hamba Allah yang beriman pada keEsaan Allah S.W.T. Aku tetap beriman sepenuhnya kepada-Nya dan agama-Nya. Moga, untuk selama-lamanya. Amin.
Kini, aku bertugas sebagai pegawai perubatan di salah sebuah hospital terpencil (district hospital) di negeri Perak. Aku dikurniakan seorang isteri yang pengasih dan anak yang comel (juga aktif).
Amalku...
Aduh.. sedih. Sedih sekali. Aku merasa tempang sekali akan amal ibadahku. Cacat dan penuh kekurangan. Solatku.. waktunya sering kali terlewat. Sedangkan orang beriman itu meletakkan solatnya di awal-awal waktu. Begitulah yang dilakarkan dalam ayat-ayat Al-Quran dalam menghuraikan ciri-ciri orang beriman yang beruntung, surah Al-Mu'minun. Dan sebenarnya, begitulah yang dikehendaki-Nya pada seseorang insan yang mahu menagih kasih-Nya, menuntut redha-Nya dan mendambakan ampunan daripada-Nya. Sedihnya..
Lidahku juga semakin keras.. jarang sekali menuturkan bait-bait syahdu Al-Quran. Zikirku juga semakin sayup-sayup kedengaran. Sedangkan orang beriman itu lidahnya sentiasa basah dalam zikrullah dan hatinya sentiasa terpaut pada al-Quran sebagaimana sang kekasih menatap seutas surat cinta daripada pasangannya dalam kerinduan yang tidak berbelah bahagi.
Ya Allah..
tunjukkanlah aku jalan-Mu..
aku memerlukan pimpinan-Mu..
Aku ingin menjadi hamba-Mu yang sentiasa merindui-Mu dan berkeupayaan beramal bakti sebaik-baiknya mengharapkan cinta-Mu..
Ilmuku...
Kini aku sedang menelaah buku-buku karangan Azizi Ali. Hah! Pasti anda terasa seperti pernah mendengar nama ini. Ya! Azizi Ali, nama seorang tokoh kewangan Malaysia yang sudah tidak asing lagi di abad 20an ini. Dengan karya-karyanya yang laris (best-seller) dan seminar-seminarnya, melonjakkan nama beliau sebagai seorang penasihat kewangan yang hebat di Malaysia, dan juga negara-negara sejiran.
Berikut adalah buku-bukunya yang telah kutempah melalui internet (dan kini berada di tangan, hehe) ..
How to become a Property Millionaire, Azizi Ali.
How to become a Millionaire Landlord, Azizi Ali.
Get into Gold, Azizi Ali.
Smart Parents, Richer Kids, Zaid Mohamad & Azizi Ali.
Winning at Property Auctions, Azizi Ali.
40 Soalan yang Anda Patut Tanya kepada Peguam Anda sebelum Membeli Rumah di Malaysia, Khairul Anuar, LL.B (Hons).
How to Pay Off Your House Loan in 5 Years or Less, Azizi Ali.
“Ish! Dunia, dunia..”
Hehe, mungkin begitu reaksi anda. Tetapi percayalah, bukanlah sebab perasaan tamak dan haloba memiliki harta berjuta-juta dan menjadi kaya-raya yang mendorong aku membeli buku-bukunya.
Cuma.. aku percaya pada ilmu yang dicurahkannya boleh memberi manfaat untuk diriku dan keluargaku dalam menguruskan harta dunia ini..
Dan.. aku ini seorang yang berkuriositi tinggi.
“Kenapa begitu laris buku-buku yang seorang ini?”
Keluargaku...
Sedih.. sedih sekali.
Aku kini terpisah dan dipisahkan..
Jauh di perantauan di pedalaman di Perak, atas alasan kerjaya..
Jauh daripada emak dan abah yang kesunyian di rumah..
Jauh daripada ibu dan ayah yang penyayang di Johor..
Jauh daripada anak isteri yang bersendirian di Selangor..
Jauh daripada adik-beradik, mahu pun sanak saudara..
Jauh daripada kawan-kawan lama..
Jauh.. Jauh sekali.
Hanya menunggu keputusan rayuanku sahaja (kini sudah berada di Putrajaya dan malumat terkini mengesahkan bahawa rayuanku akan diperdengarkan pada awal Oktober ini).
Kuharapkan jawapan yang positif, namun Tuhan Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa.
Kuserahkan pasrah dan sedihku kepada-Nya.
Kerjayaku...
Tiada rancangan untuk sambung belajar. Cukuplah dulu sebagai seorang pegawai perubatan biasa, sehingga habis tempoh servis wajib (compulsory service).
Timba pengalaman dulu..
Hartaku...
Alhamdulillah.. sekalipun duit di kocek hanya beberapa helai ringgit, dan di simpanan hanya cukup untuk makan minum sebulan. Namun, aku sedang membuat pelaburan yang lebih menguntungkan. Pelaburan kepada diri sendiri.. ilmu pengetahuan.
Rumusan..
Sekali pun jauh daripada anak isteri dan sanak saudara, sekali pun perit dan derita hati ini menanggung kesedihan dalam kesunyian, aku akan terus menaburkan bakti di bumi Allah ini sebagai doktor biasa..
Juga memulakan perancangan jangka masa panjang.. dan yang terjauh sekali, adalah di hari selepas kematianku nanti..
Kena cari ustaz @ murabbi ni. Iman aku dah tahap kronik dan kritikal dah ni.
Akhir kalam, Selamat Hari Raya Aidil Fitri dan berjumpa lagi di lembaran akan datang..
0 comments:
Post a Comment